Selamat datang di Kawasan Penyair Malaysia. Terima kasih atas kunjungan Anda

Jumat, 02 April 2010

Dato’Dr.Usman Awang




Bak kata pepatah Melayu, “harimau mati meninggal belang, manusia mati meninggalkan nama.” Biarpun hampir sedekad beliau pergi meninggalkan kita, namun dari lembaran karya-karya agung yang dinukilkan, kehadirannya tetap dirasai. Semasa hayatnya, beliau terkenal sebagai seorang penyair hebat dan ahli drama yang prolifi k. Tongkat Warrant, Adi Jaya, Atma Jiwa, Setiabudi, antara nama pena beliau yang termasyhur. Beliau yang dimaksudkan ialah Allahyarham Dr. Dato’ Usman Awang.
Meniti Ranjau Kehidupan
Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya kepada Usman Awang. Tokoh ini dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul
Takzim. Ibunya, Halimah, meninggal dunia sewaktu beliau kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang mencari dan menjual rotan pada waktu musim tengkujuh. Usman Awang menerima pendidikan setakat darjah enam Sekolah Melayu sahaja. Faktor kemiskinan tidak mengizinkannya mengecap kejayaan yang lebih baik. Beliau pernah menuntut di daerah Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940). Ketika Jepun melanda Malaya pada tahun 1942, Usman Awang memerah keringat sebagai seorang anak tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama enam bulan di Singapura.
Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Beliau pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Tali Air Segamat. Kemudian memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai), tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah. Selepas itu, Usman Awang menjadi anggota polis apabila Inggeris kembali memerintah semula pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka.
Melangkah ke Dunia Persuratan Melayu
Pada tahun 1951, beliau berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf di Melayu Raya selama enam bulan. Beliau kemudian menjadi seorang pemberita. Sesudah itu beliau bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang. Pada tahun 1952, Usman Awang mendapat tawaran bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu.
Pada tahun 1962, Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan pertamanya ialah sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi pengarang majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, dan Dewan Budaya. Bermula pada Mei 1982,beliau menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera sehingga bersara pada bulan Julai 1985.
Antara Karya Hebat
Usman Awang mula mencipta nama dalam dunia persuratan Melayu moden dengan penulisan sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Lantaran keistimewaan yang ada dalam sajaknya yang menarik, ia acap kali menjadi pilihan anak-anak sekolah juga masyarakat awam dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular ialah Pak Utih, Ke Makam Bonda, Nasib Buruh, Bunga Popi, Gadis Di Kuburan, dan Salam Benua. Manakala novel penulisannya yang masyhur sehingga kini ialah Tulang-tulang Berserakan. Begitu juga dengan cerpennya yang hebat seperti Untuk Malaya Merdeka, Turunnya Sebuah Bendera, Kami Yang Terlibat dan sebagainya. Di samping itu, drama beliau yang bertajuk Muzika Uda dan Dara, Degup Jantung, Malam Kemerdekaan, Tamu Di Bukit Kenny, Matinya Seorang Pahlawan – Jebat, Serunai Malam turut dipentaskan.
Petikan esiswa Ogos 2009

Prosa Air Mata

Bahawasanya air mata
tiadalah ia memilih tempat untuk jatuh…
tidak pula memilih waktu untuk menitis…

Air mata adalah kepunyaan bersyarikat…
dipunyai oleh orang-orang melarat yang tinggal
di dangau-dangau yang buruk oleh tukang sabit yang masuk
ke padang yang luas dan ke tebing yang curam,
dan juga oleh penghuni-penghuni gedung-gedung yang permai
dan istana-istana yang indah.
Bahkan di situ lebih banyak orang menelan ratap dan memulas tangis.
Luka di jiwa yang mereka hidapkan, dilingkung oleh tembok dinding
yang tebal dan tinggi, sehingga yang kelihatan
oleh orang luar atau yang mereka ketahui hanya
senyuman saja,
padahal senyum itu penuh dengan kepahitan

Uda dan dara
Uda dan dara
Bersumpah keramat cinta
Wajah seri terukir
Berbiduk hilir kasih

Uda dan dara
Bersanding tak berpelamin
Tempat yang berwali
Di laut malam saksi
Daraku nantikan abang
Emas ringgit membakar kita
Uda hamba tunggu angin lalu

Uda dan dara
Bersanding di pusara
Nisan yang bersabda
Keramat kisah cinta

Pahlawan Kemerdekaan
(Kepada Pahlawan Pahang)

PAHLAWAN
jika hilangmu tanpa pusara
jika pusaramu tanpa nama
jika namamu tanpa bunga
penjajah mengatakan engkau derhaka
maka engkaulah pahlawan yang sebenarnya

Gema seabad silam
Inggeris datang meredah Pahang
bersama peluru bersama senapang
membunuh menangkap setiap pejuang

Sungai Semantan berubah merah
bukan sarap hilir ke kuala
bukan rakit mudik ke hulu
arus merahnya menjulang mayat
pahlawan bangsa pahlawan rakyat
tujuh liang dadanya tersayat

Pahlawan!
Untukmu derita untukmu penjara
bukan bintang tersemat di dada
semangatmu api negara berdaulat
namamu terukir di jantung rakyat.

Salam Benua
I
MEREKA memisahkan kita
pasport visa wilayah segala tempoh nama
mereka merompak kita dengan undang-undangnya
peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya
kita dipaksa memilih salah satu
dan kita mesti memilihnya
tiada jalan lain
II
Telah saudara pilih senapang dan peluru
banyak pemimpin memilih dollarnya
untuk ini saudara membasahi baju
rumput-merah sungai-merah
tangis anak-anak
darah rakyat tertindas
III
Saudara memerah kaktus melumat batu
menjadikannya minuman makanan
gadis-gadis bekerja debu pasir dandanannya
anak-anak kecil menyandang senapang
saudara menghitamkan langit menyelubungi
saluran minyak
setengahnya menyanyi di penjara
untuk pembebasan Palestin
IV
Kami bertatih di sawah semakin kering
petani-petani mulai menebang hutan dara
permulaan kecil pada ketenangan segumpul awam
ketenangan yang di belakangnya memangkas kami
yang sedikit ini sedang belajar
dari tiap pengalaman saudara
dan pengalaman sendiri
kami memampatkan gerhana bulan mei
pada tujuan tempat
nusantara ini
V
Salam
tanpa visa
pasport
golf
warna
kemanusiaan rakyat
seluruh benua
Usman Awang
1970

English Translation: Greetings to the Continent
I
They separate us
the passports visas frontiers all names for barriers
they rob us with their laws
sending bullets wrapped in dollars
forcing us to choose
and choose we must
there is no other way
II
Friend, you have chosen guns and bullets
many leaders prefer their dollars
for this you must soak your clothes
red grass, red river
children’s weeping
the blood of the exploited
III
You squeeze cactus and grind stones
to make food and drink
girls toil decorated in dust
little children sling on their weapons
you darken the sky with exploding pipelines
others sing in prisons
for the freedom of Palestine
IV
We strive in drying rice fields
daring peasants have begun to clear the virgin jungle
small beginnings in a cloudlike calmness
a calmness that nips us in the bud
we the few are still learning
from all your experiences,
and our own
we shall consolidate the May eclipse
at the true target
of this archipelago
V
Greetings
without visa
passport
golf
colour
to humanity, people,
of all continents.
1970

(Translated by Muhammed Hj Salleh)
Sumber : Penyair Dunia
http://penyair.wordpress.com

Tidak ada komentar: